Monday, January 30, 2012

3 Mac 1924 - Pemisahan Agama Islam Daripada Negara KHILAFAH

Sumber: http://www.arrayah.info/2010/03/3-mac-1924-pemisahan-agama-islam.html

----------------------------------------------------------------------------------------------

"Pada pagi 3 Mac 1924, Perhimpunan Agung Kebangsaan telah mengumumkan pembubaran Khilafah dan pemisahan agama Islam daripada Negara"

Sedikit sorotan sejarah buat renungan kita semua. Sama-sama kita hayati kisah di bawah...

Tampuk pemerintahan khilafah beralih kepada Turki Uthmaniah, yang terkenal dengan kecanggihan dan keteguhan dari segi ketenteraannya. Kemuncak kegemilangan ini diwarnai dengan pembukaan kota Constantinople seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

Bagaimanapun tamadun itu – yang begitu kuat, berpengaruh serta makmur selama 13 abad – menjadi begitu mundur, dan tertindas. Apakah sebenarnya yang menjadi punca segala kemunduran ini?

Ia boleh diketegorikan kepada faktor dalaman dan faktor luaran:

Faktor Dalaman

1) Pengabaian Bahasa Arab

Hingga berakhirnya masa Khilafah Abbasiyah, Islamisasi selalu seiringan dengan “arabisasi”. Bahasa Arab klasik sebagai bahasa Qur’an, menjadi bahasa internasional, bahasa silaturahim umat Islam dan bahasa ilmu pengetahuan. Namun, pada masa Khilafah Uthmaniah tradisi itu ditinggalkan, kononnya agar Islam lebih mudah “diserap” tanpa bahasa Arab sebagai penghalang.

Akibatnya di negeri-negeri yang belum berbahasa Arab, bahasa Arab menjadi “hak istimewa” segolongan kecil elit terpelajar sahaja, sedangkan bagi umat, khazanah ilmu dalam bahasa Arab menjadi tertutup. Kitab-kitab Arab menjadi “kitab rahsia” yang suci dan kalimat-kalimat Arab hanya menjadi mentera-mentera sakti (e.g. dalam aktiviti menghalau hantu).

2) Kurangnya ijtihad dan kemunduran daya berfikir

Ketika bahasa Arab terabaikan, ijtihad tidak boleh lagi dikeluarkan dengan cukup, sedangkan setiap hari umat Islam berhadapan dengan benda-benda baru yang perlu penjelasan daripada syarak. Hanya melalui ijtihad sahajalah perkara-perkara yang baru ini dapat dijelaskan kedudukan hukumnya. Sedangkan ijtihad hanya boleh dikeluarkan dalam bahasa Arab klasik, agar seorang mujtahid boleh benar-benar memahami sumber-sumber syar’i.

Akibat mundurnya proses ijtihad, daya berfikir umat Islam juga mundur. Contohnya ketika era kemunduran ini, sesetengah ulama mengharamkan penggunaan ‘speaker dan microphone’ yang dicipta di Barat kerana menganggap suara yang keluar daripadanya ialah suara syaitan. Kemunduran daya berfikir umat Islam telah membawa umat tertinggal jauh di belakang daripada Barat dalam aspek sains dan teknologi sehingga dunia Islam dikejutkan dengan revolusi industri di Barat.

3) Kemasukan pemikiran-pemikiran asing

Sejajar dengan berkembangnya sempadan Islam, umat telah bertembung dengan pemikiran masyarakat setempat seperti falsafah Yunani, Mesir, Parsi dan India. Masyarakat Islam setempat itu tidak membuangkan falsafah-falsafah ini daripada pemikiran mereka malah meng’Islam’kan falsafah ini sehingga fikrah Islam dicemari dan bercampur-campur dengan pemikiran bukan Islam.

Akhirnya, fikrah Islam pada diri umat Islam sudah manjadi semakin kabur dan lemah (e.g. hak kebebasan, majoriti sebagai tolok ukur kebenaran, persandingan pengantin, kenduri arwah pada hari tertentu, ayat al-Quran sebagai azimat untuk melawan hantu dan sebagai ayat pengasih dan lain-lain).

4) Perpecahan di kalangan umat Islam

Sempadan Daulah Islam ketika empayar Islam Uthmaniah adalah sungguh besar, sehingga menguasai satu pertiga dunia. Khalifah tidak mampu mengawal kesemuanya dengan teknologi dan kemampuan yang ada ketika itu. Kekuasaan khalifah menjadi longgar dan
muncul sultan-sultan di setiap wilayah Islam (seperti Sultan di Arab Saudi, Jordan, Delhi).

Umat Islam mula tidak bersatu dan terpecah-pecah. Umat Islam memikirkan tanggungjawab mereka ke atas penderitaan umat di wilayah lain hanyalah pada doa dan sedekah harta yang tidak seberapa. Ini memudahkan sentimen nasionalisme (e.g. Semangat Turki, KeAraban, India, dsb) mulai menyerap masuk di kalangan umat dan menyemarakkan lagi perpecahan dunia Islam. Akhirnya, wilayah-wilayah Islam merasakan mereka dijajah oleh Khalifah Turki Uthmaniah lalu memerdekakan diri mereka daripada Daulah Islam.


Faktor Luaran


1) Ancaman ketenteraan oleh musuh Islam khususnya Barat

Daulah Islam sentiasa mempunyai musuh daripada pihak kufar. Negara-negara kuffar seperti Rusia, Britain dan Perancis adalah musuh ketat Daulah Islam Turki Uthmaniah. Mereka sentiasa mencari jalan untuk mengalahkan kuasa Islam. Mereka sentiasa berperang dengan umat Islam bermula dari Perang Salib sehingga Perang Dunia Pertama di mana kekalahan Daulah Islam Turki Uthmaniah mengakibatkan wilayah-wilayah Islam dipecah-pecahkan dan diserahkan kepada mereka.

2) Konspirasi Politik dan Kebudayaan

Setelah gagal melalui Perang Salib, musuh Islam menyerang dari segi politik dan kebudayaan. Missionari telah dihantar ke dalam Daulah Islam untuk menyebarkan idea-idea asing serta sentimen nasionalisme. Idea sekular pula disuntik melalui golongan yang menerima pendidikan Barat. Gerakan Freemason juga bergiat gigih dalam menjatuhkan Daulah daripada dalam. Agen-agen Barat seperti Midhat Pasha dan Kamal Atarturk telah menyelinap masuk ke dalam pentadbiran Khilafah dan diberi jawatan-jawatan penting seperti Ketua Menteri (Midhat Pasha) dan Kolonel Tentera (Kamal Atarturk). Agen-agen ini berpakat dengan Barat terutamanya Britain untuk memaksa Khalifah menerima pakai perlembagaan dan undang-undang secular, kemudian membuang hukum-hukum Islam termasuk hudud.

3) Kebangkitan Nasionalisme dan Sekular

Kaum Muda Turki berjaya menyebarkan pengaruh mereka di dalam masyarakat dan umat Islam ketika itu. Pengaruh Kamal Atarturk memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan mereka ini. Dengan bantuan British, Kamal berjaya menjadi ’hero’ Perang Dunia Pertama dan meraih sokongan umat. Dalam masa yang sama, British juga membantu pejuang Nasionalis Arab pimpinan Syarif Hussain memberontak terhadap Turki Uthmaniah.

No comments: